suria

'Petani Sado' Gamatkan Festival Padi Kedah 2016

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan petani sado pada Festival Padi Negeri Kedah yang berlangsung di Muzium Padi Gunung Keriang pada 25 Disember 2016. - BERNAMA

ALOR SETAR: Pertandingan 'Petani Sado' adalah antara aktiviti yang menggamatkan program sukan rakyat sempena Festival Padi Negeri Kedah (FPNK) yang julung kali diadakan di Muzium Padi di sini.

Seolah-seolah menjadi atlet angkat berat, setiap peserta perlu mengangkat sejumlah kampit beras bermula dengan berat 50 kilogram (kg) dan maksimum 240kg atau bersamaan 48 kampit beras seberat lima kilogram setiap satu.

Menariknya, peserta yang memperoleh angkatan berat tertinggi, boleh membawa pulang kesemua kampit beras tersebut sebagai hadiah utama.

Pengurus Persiapan Sukan Bendang FPNK, Khalid Rejab berkata, aktiviti itu adalah antara beberapa program yang diatur selain sembilan sukan bendang dipertandingkan yang melibatkan hampir 200 penyertaan.

Antaranya ialah pertandingan memancing, serkap ikan, tarik upih dalam sawah, larian bendang, lari guni dalam sawah, membuat patung-patung dan tarik tali dalam sawah.

"Penyertaan kanak-kanak sekolah amat membanggakan dan mereka menunjukkan minat yang cukup bagus dan memang matlamat kita antara lain untuk mengetengahkan semula sukan bendang dalam kalangan anak muda agar ia tidak lupus ditelan zaman," katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam acara menangkap ikan menggunakan serkap pada Festival Padi Negeri Kedah yang berlangsung di Muzium Padi Gunung Keriang pada 25 Disember 2016. - BERNAMA

FPNK selama tiga hari yang berakhir hari ini disempurnakan Exco Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Peserta serkap ikan, Mohd Afiq Naim, 11, berkata dia telah menyuarakan hasrat menyertai pertandingan itu kepada keluarganya seminggu sebelum ia diadakan.

"Aktiviti ini sangat menyeronokkan kerana saya boleh bermain dalam sawah dan gembira apabila dapat menangkap ikan," kata pelajar Sekolah Kebangsaan  Gunung itu.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata FPNK yang merupakan satu daripada empat program utama dalam program Discover Kedah 2016 akan diperkasakan lagi dan dijadikan acara tahunan.

Bagi pengunjung, Saudah Isa, 59, aktiviti sukan bendang seperti serkap ikan dan tarik upih dalam sawah itu mengembalikan memorinya ketika zaman kanak-kanak.

"Dahulu selepas musim menuai, saya dan rakan-rakan serta ahli keluarga akan turun ke bendang untuk menangkap ikan dan melakukan pelbagai aktiviti," katanya yang turut menghantar anaknya menyertai pertandingan serkap ikan.

Menurutnya, program seumpama itu harus dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri memandangkan ramai anak-anak muda sekarang lebih gemar menghabiskan masa dengan telefon pintar dan gajet lain berbanding bermain permainan melibatkan aktiviti fizikal.

KEMASKINI

Artikel Lain