suria

Nahas Bas: Hanya Keluarga Terdekat Dibenar Lawat Mangsa - HPSF

Dr Selahuddeen Abdul Aziz (kiri) bersama Ayub Rahmat ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kemalangan bas yang selamat pada Ahad. Foto: Bernama

MUAR: Pihak Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) hanya membenarkan anggota keluarga terdekat untuk melawat isteri pemandu bas ekspres yang terlibat dalam nahas di Kilometer 137.3, Lebuh Raya Utara Selatan arahutara di Pagoh pada Sabtu lalu.

Pengarahnya Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata Miyarseh Kemat kini berada dalam keadaan stabil dan masih mendapat rawatan bagi memulihkan kecederaannya yang melibatkan patah kaki kiri selain trauma.

"Kita hanya membenarkan keluarga terdekat sahaja bertemu dengan Miyarseh kerana bimbang ia akan menjejaskan proses rawatan yang sedang dijalankan oleh pakar psikologi dan kaunseling hospital yang sentiasa memantau keadaannya.

"Kita risau sekiranya dia (Miyarseh) terdedah dengan gangguan luar, ia akan memberi tekanan kepada mangsa nanti," kata beliau ketika dihubungi di sini [pada Ahad.

Dr Selahuddeen berkata Miyarseh telah menerima berita kehilangan suami dan anaknya namun memerlukan sedikit masa lagi untuk pulih sepenuhnya.

Suaminya yang juga pemandu bas ekspres terbabit iaitu Zakeer Zubir serta anak bongsu mereka Nur Natasha Zahara, 1 setahun, adalah antara mangsa yang terkorban dalam nahas itu yang meragut keseluruhan 12 nyawa.

Dr Selahuddeen berkata pihaknya masih mengkaji jenis pertolongan yang sesuai bagi membantu Miyarseh untuk bertemu dengan dua anaknya iaitu Nur Zulaikha Zakeer, 4, dan Nur Zafirah, 2, yang kini berada dalam jagaan ibu mentuanya Rashidah Abdul Rahim di Batu Maung, Pulau Pinang.

Mengenai keadaan empat mangsa lain yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)HPSF, beliau berkata mereka juga hanya dibenarkan untuk menerima lawatan daripada keluarga terdekat kerana masih mengalami gangguan emosi serta masih menjalani proses pemulihan kecederaan.

Empat mangsa berkenaan ialah R. Nagadevan, Kesavan, R. Govindara (warga India) dan Zaw Oo (warga Myanmar).

Sementara itu, Rashidah, 61, berkata beliau akan membawa kedua cucunya itu untuk melawat ibu mereka dalam masa sehari dua lagi.

"Mak cik memang teringin membawa dua anak arwah melawat ibu mereka di Muar, namun tidak mempunyai kemudahan untuk ke sana," katanya. Ketika dihubungi,

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas itu boleh merujuk dengan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi mendapat bantuan yang telah dijanjikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

"Kita sentiasa peka dan faham dengan kesulitan serta kesedihan yang dialami oleh keluarga mangsa dan mereka boleh berhubung dengan MAIJ bagi mendapat bantuan seperti yang dijanjikan," katanya.

Ayub memuji kecekapan pihak HPSF dan agensi lain yang terlibat dalam operasi menyelamatkan para mangsa.

"Saya berterima kasih kepada kakitangan HPSF, MAIJ dan agensi lain yang terlibat membantu mangsa dari tempat kejadian dan membawa mangsa ke hospital sehinggalah ke proses penghantaran jenazah kepada keluarga mangsa," katanya. -Bernama

Artikel Lain