suria

Jenazah Abdullah Hadi Selamat Dikebumikan

Imam Masjid India Johor Baru Salman Faris, 34, menunjukkan gambar Abdullah Hadi Yusof, 47, yang maut dalam kemalangan bas ekspress di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan. -fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Jenazah Abdullah Hadi Yusof, warga India yang terkorban dalam tragedi bas ekspres di Pagoh awal pagi semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh dekat sini kira-kira pukul 11 malam Ahad.

Jenazah yang dituntut oleh warisnya di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada pukul 7 malam tadi tiba di Masjid India, Jalan Duke kira-kira pukul 10.20 malam untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Kira-kira 50 orang termasuk anggota keluarga dan rakan-rakan beliau menghadiri majlis pengkebumian tersebut.

Allahyarham yang berasal dari Tiruchirappalli, Tamil Nadu, India telah menetap di Malaysia selama tiga tahun.

Adik iparnya yang mewakili anggota keluarga di India, Ahmad Tayyub Ismail berkata anggota keluarga mereka di India telah memberi keizinan untuk jenazah Abdullah Hadi disemadikan di Johor Baru.

Beliau berkata isteri dan dua anak Allahyarham beserta bapanya Abdullah Hadi akan tiba dari India selewat-lewatnya petang esok bagi menziarahi pusaranya.

Abdullah Hadi adalah antara 14 yang terkorban dalam nahas bas ekspres di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Kampung Jayor, Pagoh, awal pagi Sabtu.

Bas ekspres itu dipercayai dipandu laju sebelum terjunam ke dalam curam sedalam 10 meter dan melanggar benteng konkrit Kampung Jayor.

Artikel Berikut

Gempa Bumi Kuat Di Chile

Artikel Lain