KUALA TERENGGANU: Dua pusat pemindahan di Kemaman yang menempatkan 79 mangsa banjir ditutup pada Rabu selepas penduduk yang terjejas akibat bencana itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Negeri, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, dua pusat pemindahan iaitu di Sekolah Menengah Badrul Alam Shah dan Balai Raya Padang Kemunting ditutup pada 9.25 pagi. "Cuaca semakin baik dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas berlindung di pusat pemindahan sejak Isnin. "Banjir juga telah surut sepenuhnya," katanya. Kesemua mangsa terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan ditempatkan di pusat pemindahan selepas rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat selama lapan jam bermula tengah malam Isnin.