MIRI: Banjir kilat yang berlaku di Lawas, Limbang malam Selasa menyebabkan 19 orang dari Kampung Siang-Siang, Trusan Lawas ditempatkan ke pusat pemindahan di Dewan Masyarakat Trusan. Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Limbang, Mahathir Mohd Isa berkata pusat pemindahan itu dibuka pukul 10.06 malam, bagaimanapun ditutup pada 10.15 pagi Rabu berikutan keadaan air yang sudah surut. "Hujan lebat yang berlaku sejak petang semalam menyebabkan berlakunya banjir kilat," katanya ketika dihubungi Bernama. Mahathir berkata kesemua mangsa telah kembali ke kediaman masing-masing namun pemantauan dijalankan dari semasa ke semasa berikutan ramalan hujan lebat akan berlaku di Limbang pada awal Januari depan. "Hujan lebat dijangka tidak menyebabkan banjir yang teruk tetapi kita bersama jabatan dan agensi lain akan memantau kawasan berisiko banjir terutama sekali kawasan rendah," katanya. - BERNAMA