suria

Ibu Tunggal Didenda RM250 Gagal Pamer Kad Pengenalan

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal anak tiga didenda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu kerana gagal menunjukkan kad pengenalan diri kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan, dua hari lepas.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Mariamah, 31, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut di hadapan kedai serbaneka 7-Eleven, Jalan Petaling, di sini, pada 27 Disember lepas.

Mariamah dalam rayuannya merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan dia seorang ibu tunggal dan menyara tiga orang anak.

"Tolonglah...saya merayu kepada mahkamah, saya tiada suami, risau akan anak-anak tak makan kat rumah. Saya mahu beli baju sekolah untuk anak-anak...saya ada Mykad tertinggal di rumah bapa di Pulau Pinang," katanya sambil menangis teresak-esak.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu. Dia kemudian membayar denda tersebut.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain