PUTRAJAYA: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) menyarankan kerajaan menubuhkan Tabung Pesara Polis bagi membantu meringankan beban bekas anggotanya, khususnya ketika ditimpa masalah. Presidennya Datuk Dr Hassan Yusoff berkata ketika ini, bekas atau pesara polis hanya bergantung kepada pencen yang diterima berbanding bekas anggota tentera yang mempunyai Tabung Pahlawan yang boleh membela nasib mereka jika berdepan musibah. "Sebagaimana Tabung Hari Pahlawan yang ditubuh bagi melaksanakan kutipan untuk disalurkan kepada bekas anggota tentera, balu dan keluarga yang kurang bernasib baik, PBPM berpendapat sudah sampai masanya kerajaan menubuhkan Tabung Pesara Polis untuk membela nasib bekas anggota selepas menamatkan perkhidmatan. "Polis juga merupakan pasukan keselamatan negara dan penubuhan tabung ini penting terutamanya kepada bekas anggota yang telah lama bersara kerana walaupun berpangkat tinggi, pencen yang diterima tidaklah sebesar mana," katanya. Bercakap kepada pemberita selepas sidang media Pertandingan Memancing Putrajaya 2017 anjuran persatuan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di sini, pada Rabu. Hassan berkata PBPM telah membawa usul tersebut kepada Jabatan Hal Ehwal Bekas Polis, Bukit Aman untuk tindakan lanjut. Beliau berkata usul PBPM mendapat reaksi positif daripada pihak jabatan dan ia tentunya akan memberi khabar gembira buat pesara dan bakal pesara polis seramai 5,000 orang yang menamatkan perkhidamatan setiap tahun jika cadangan itu dipersetujui sejurus dibentangkan kepada kerajaan. Dalam pada itu, Hassan berkata PBPM juga berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan kembali kursus peralihan untuk pegawai dan anggota yang akan bersara sebagaimana yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). "Kursus jangka pendek atau kursus peralihan ini telah dihentikan atas alasan tertentu dan pada kami, ia penting untuk diadakan kembali sebagai persediaan kepada anggota untuk kembali menjadi orang awam selepas bersara," katanya yang menaungi persatuan yang disertai lebih 140,000 pesara polis. Mengenai pertandingan memancing yang akan diadakan pada 1 Jan depan, Hassan berkata pihaknya menyasarkan untuk menarik 4,000 penyertaan bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM130,000. Pertandingan yang akan berlangsung di pesisiran Tasik Putrajaya, Presint 4, di sini mengenakan bayaran RM50 bagi warganegara serta RM100 untuk bukan warganegara. Mereka yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian dengan membuat pembayaran penyertaan ke nombor akaun 28300012099 (Hong Leong Bank) atas nama Mengenang Jasa Pejuang Negara PBPM atau mendaftar di lokasi pertandingan pada 31 Disember ini, katanya. - BERNAMA