BALING: Keindahan Gunung Baling kini semakin hilang seri akibat pencemaran daripada tindakan tidak bertanggungjawab pendaki yang suka meninggalkan sampah di gunung berkenaan. Lebih menyedihkan apabila gunung berketinggian 420 meter yang semakin dikenali sejak penghujung 2014 itu kerana muka bumi dan alam semulajadi yang indah serta laluannya yang mencabar, turut dicemari dengan contengan pada dinding batu besar yang terdapat pada laluan pendakian. Muhamad Syamil Zahruddin, 14, yang tinggal berhampiran kawasan itu berkata, sampah yang ditinggalkan menyebabkan dia dan penduduk kampung terpaksa mengambil inisiatif mengutipnya secara sukarela. "Setiap minggu akan ada penduduk kampung atau pendaki bertanggungjawab mengutip dan membawa turun sampah yang ditinggalkan pendaki. "Kadang-kala ada kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan yang mendaki sambil membersihkan laluan pendakian," katanya. Seorang pendaki daripada kelab Qabat Gunung dan Penjejak Gunung, Mohd Jasni Omar, 40, berkata kurangnya kesedaran golongan pendaki mengenai pentingnya menjaga alam sekitar membuatkan persekitaran gunung semakin tercemar. "Tak perlu tunggu pihak berkuasa meletakkan papan tanda memberi peringatan menjaga kebersihan kerana itu tanggungjawab dan kesedaran yang patut ada dalam diri pendaki sendiri. "Laluan ke puncak gunung ini sangat menarik, dilengkapi ciri-ciri keselamatan seperti tali pemegang di laluan dan lampu panduan yang mana saya percaya seharusnya mampu menarik ramai golongan penakluk gunung untuk datang ke sini," katanya.