suria

Segera Tamat Kontrak Pemandu Uber/GrabCar Tidak Patuh Sistem ‘E-Hailing’ - SPAD

Tan Sri Syed Hamid Albar
PETALING JAYA: Segera tamatkan kontrak pemandu yang ingkar peraturan, demikian tegas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam  Darat  (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau sekali gus menggesa syarikat perkhidmatan ‘e-hailing’, Uber dan GrabCar supaya mengambil tindakan segera terhadap pemandunya yang melanggar peraturan dan tidak mematuhi sistem yang ditetapkan.

Syed Hamid berkata, kedua-dua syarikat berkenaan perlu menamatkan serta-merta kontrak pemandu terlibat walaupun telah bersetuju dengan syarat yang ditetapkan ketika mendaftar.

“Saya fikir orang macam ni patut dibatalkan kerja dengan Uber atau GrabCar.

“Kita akan bawa kepada Uber dan GrabCar untuk pastikan mereka ini patuh kepada sistem ‘e-hailing’, kalau tak mereka patut batalkan kontrak pemandu seperti ini,” katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan mStar Online mengenai tindakan kelompok pemandu Uber/Grab yang sanggup bertukar status menjadi seperi ulat untuk mendapatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bagi mengaut keuntungan bersih.

Portal berita ini menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran.

Syed Hamid berkata, sepatutnya semua pihak yang terlibat, sama ada syarikat e-hailing atau pemandunya perlu menghormati kelonggaran yang diberikan kerajaan untuk terus beroperasi.

“Pelik kerana ada yang ingkar walaupun kita bersikap agak fleksibel terhadap mereka sedangkan undang-undang masih belum dipinda untuk laksanakan kawal selia.

“Sebenarnya mereka belum boleh beroperasi tapi kerana sudah diumumkan kerajaan meluluskannya, jadi kita benarkan, tapi mereka mestilah ikut sistem itu,” katanya.

Syed Hamid berkata, apa yang berlaku ini sama sekali bertentangan dengan konsep e-hailing yang diamalkan di seluruh dunia.

“Mereka tak boleh ambil penumpang dari atas jalan, ia ada syarat, hanya ambil penumpang melalui aplikasi di telefon.

“Saya tengok benda ni di tempat lain tak jadi, hanya di Malaysia, bila ada e-hailing mereka buat macam itu pula, itu bertentangan dengan e-hailing, Malaysia mesti ada budaya patuh undang-undang,” katanya.

Berdasarkan tinjauan, kerakusan aktiviti ‘sesumpah’ ini, selain ulat sedia ada, menjadi antara faktor pendapatan harian pemandu teksi KLIA  terjejas kira-kira 50 peratus.

Syarikat Uber dan Grab juga dianggarkan ‘terlepas’ sejumlah komisen apabila pemandu yang berdaftar dengan mereka bertindak mematikan status sebagai pemandu yang sedang bertugas sebaik mendapat pelanggan, walaupun sebelum itu nama dua syarikat itu digunakan untuk ‘memancing’ perhatian 'mangsa'.

Sehingga berita ini disiarkan, Uber dan Grab masih belum memberi sebarang komen atau tindak balas berkaitan isu ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain