suria

Lampu Terangi Putrajaya Hingga Esok

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan Festival Lampu 2016 di Presint 3 bermula Jumaat. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Persekitaran Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini dilimpahi cahaya lampu berwarna-warni sempena Festival Light and Motion Putrajaya (Lampu) 2016 di Dataran Putrajaya, Presint 3, yang bermula Jumaat malam.

Lampu 2016 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan bertemakan Nusantara, yang menghiasi pusat pentadbiran ini  dari 7.30 malam hingga 12.30 tengah malam, akan berlangsung sehingga 1 Januari ini.

Selain lokasi utama di Dataran Putrajaya, festival yang memasuki tahun keempat penganjurannya turut membabitkan sebahagian besar bangunan kerajaan di Persiaran Perdana, Kompleks PPj dan Istana Kehakiman.




Festival itu dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan. Turut hadir Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail.

Menurut kenyataan PPj, Festival Lampu yang menghidupkan dan menyerikan suasana malam di Putrajaya, dijangka menarik lebih 700,000 pengunjung tempatan dan luar negara.

Putrajaya merupakan satu-satunya bandaraya di Malaysia yang menjadi anggota Lighting Urban Community International (LUCI) sejak 2002.

Festival tahun ini memperkenalkan beberapa persembahan baharu seperti 'Lampu Skywave' yang memaparkan teknologi seni penggerakkan bebola dan animasi bercahaya.

Turut diperkenalkan adalah pemetaan cahaya menggunakan teknik dan teknologi terkini dalam menghasilkan paparan dalam bentuk 3D pada bahagian hadapan bangunan bagi menonjolkan keunikan perincian seni bina bangunan.



Persembahan 'Fusion Peperangan Bintang' iaitu persembahan wayang kulit versi Star Wars diadakan khas untuk pengunjung tempatan dan pelancong asing.

Antara aktiviti lain ialah Taman Hiasan Bercahaya, Struktur Bercahaya, Pameran Kereta  and  Beca Bercahaya, Pameran Motosikal Bercahaya kuasa tinggi dan forum Lampu.

Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api digital yang julung kali diadakan bagi meraikan malam detik Ambang Tahun Baharu 2017 di Dataran Putrajaya.

Pertunjukan bunga api digital itu, yang akan diadakan di hadapan bangunan Istana Kehakiman, akan mengambil masa enam minit.

Festival Lampu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain