IPOH: Seorang pesakit mental yang juga orang kurang upaya (OKU) rentung manakala bapa saudaranya yang juga pesakit mental cedera apabila rumah mereka dijilat api di Mambang Diawan dekat Kampar. Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi tadi, mayat mangsa yang dikenali sebagai Lee Chan Hoong, 39, ditemui di dalam sebuah bilik manakala Lee Swee Kam, 57, dapat menyelamatkan diri. Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata struktur rumah terbabit yang merupakan separuh batu dan kayu menyebabkan api marak dengan cepat. "Saksi melihat api marak di bahagian tengah rumah dan bapa saudara mangsa berjaya keluar sambil memanggil si mati," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu. Menurut Ng, kedua-dua mangsa hanya tinggal berdua di rumah berkenaan manakala keluarga mereka menetap di Johor Bahru. Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera di bahagian kepala dan tangan masih menerima rawatan di hospital yang sama. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar Meor Mohd Ali Meor Hussien berkata rumah berkenaan 80 peratus terbakar dan ia kemungkinan berpunca daripada bahagian belakang berikutan keseluruhan bahagian itu musnah terbakar. Katanya 12 anggota dengan dua jentera serta bantuan dua anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah dapat mengawal kebakaran pada kira-kira 11 pagi dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 12.45 tengah hari.