suria

2016 Berlalu Tanpa Tragedi Besar

TAHUN 2016 mengucapkan selamat tinggal kepada kita tanpa malapetaka yang maha besar atau pengalaman terlalu pahit untuk dikenang.

Tidak seperti 2015, rakyat Malaysia diuji dengan kejadian gempa bumi di Sabah yang meragut belasan nyawa dan merosakkan struktur Gunung Kinabalu, atau kejadian banjir besar seperti mana yang berlaku di Kelantan pada 2014.

Rakyat Malaysia harus memanjatkan kesyukuran apabila 2016 secara keseluruhannya lebih 'tenang' tanpa diturunkan ujian-ujian besar seperti itu.

Namun, menyedihkan apabila negara digemparkan dengan khabar duka tentang beberapa kemalangan maut yang mengorbankan banyak nyawa hanya beberapa hari terakhir sebelum 2016 melabuhkan tirainya.

Negara juga pasti tidak akan melupakan nahas helikoper yang mengorbankan beberapa ahli politik.

Tragedi disebabkan kelalaian manusia pula terus berlaku di negara ini dengan beberapa siri kejadian kren tumbang yang rata-rata berpunca dari kawasan pembinaan turut mengorbankan beberapa nyawa.

Menyingkap episod jenayah sepanjang 2016, agak membimbangkan apabila terdapat banyak kes yang berlaku melibatkan si pelaku yang tergamak menembak ahli keluarga sendiri atau orang yang terdekat dengan mereka.


Kes Bunuh, Tembak Mati

Pada 11 Februari 2016, seorang pengusaha restoran nasi kandar dan pusat mencuci kenderaan, Syed Amen Jainul Abidin, 46, ditembak mati dari jarak dekat di Jalan Dato Keramat.

Mangsa yang berada di dalam kereta Mercedes Benz miliknya dan berhenti di depan sebuah pusat pameran motosikal kira-kira jam 3.30 pagi maut di tempat kejadian akibat terkena lima das tembakan pada badan dan kepala.


Pada 13 Julai seorang lelaki telah menembak mati empat ahli keluarganya, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dalam kejadian di Pulau Pinang.

Pembunuhan kejam itu berlaku di sebuah kilang memproses ayam di Batu Maung, kira-kira pukul 2.55 pagi.

Sebanyak 11 das tembakan telah dilepaskan suspek, menyebabkan keempat-empat mangsa yang sedang tidur di bahagian atas pejabat kilang memproses ayam terbabit terbunuh.

Suspek Chung Chun Wah, 32, telah ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Air Itam, sehari selepas kejadian.

Kira-kira dua minggu kemudian, negara digemparkan dengan kejadian pembunuhan 'ala mafia' apabila seorang lelaki India ditembak mati dengan 16 das tembakan dari jarak dekat oleh dua lelaki yang menaiki motosikal ketika berhenti di lampu isyarat dekat Setapak Sentral.

Kes tersebut dipercayai bermotifkan balas dendam dan masih lagi dalam siasatan.


Sebulan selepas kejadian itu, iaitu pada 25 Ogos, negara dikejutkan dengan satu lagi kes bunuh ahli keluarga, kali ini berlaku di Kampung Bertam Malim, Melaka.

Dalam kejadian itu, tiga sekeluarga maut akibat dikelar manakala tiga lagi cedera apabila seorang lelaki daripada keluarga ini mengamuk pada awal pagi.

Selepas beberapa jam kejadian, suspek ditahan ketika bersembunyi di sebuah masjid di Melaka.


Pada 1 Disember, seorang pengawal peribadi menembak mati majikannya, Datuk Ong Teik Kwong dan dua lagi orang awam selepas suspek dipercayai mempunyai masalah mental.

Dua lagi mangsa turut dilaporkan cedera termasuk seorang jurukamera sambilan RTM dalam kejadian yang masih tidak diketahui motifnya.


Nahas Udara

Pada 5 Mei 2016, berlaku nahas helikopter RPC 6828 yang berlepas dari Betong dan terhempas berhampiran Sungai Batang Lupar, Sebuyau, Sarawak.

Enam yang maut dalam kejadian ini adalah, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Asmuni Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Nahas ini juga telah menyaksikan dua Pilihan Raya Kecil (Sungai Besar dan Kuala Kangsar) diadakan pada bulan Jun.


Sementara itu, pada Jun juga, negara mendapat berita bahawa menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik pergigian di Bangsar.

Syed Alman Zain, 44, suami kepada anak sulung timbalan perdana menteri, Datuk Nurulhidayah, telah pergi ke klinik itu untuk mendapatkan rawatan gigi sebelum dilaporkan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan disahkan meninggal dunia.

Siasatan dijalankan terhadap klinik tersebut yang kini berdepan sembilan pertuduhan di mahkamah, termasuk empat berkaitan kematian Syed Alman.


Hanya beberapa hari sebelum 2016 melabuhkan tirai, seluruh negara meratapi pemergiaan seorang perajurit Tentera Udara Malaysia selepas pesawat yang diterbangkannya terhempas pada sesi latihan di Butterworth pada 21 Disember.

Insiden itu mengorbankan juruterbang Mejar C Kayamboo, 44, manakala Kapten Wai Lik, 26, Lt Hamid Hanafi, 26, dan Sarjan Udara Mohd Sofi Azizan, 29, cedera.


Lima Kemalangan Di Tapak Pembinaan

Insiden di kawasan pembinaan berlaku seawal 2016 apabila seorang pekerja pembinaan warga China maut, sementara tiga lagi cedera dalam insiden kren tumbang semasa menjalankan kerja pembinaan sebuah jejambat menghubungi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di Damansara pada 12 Januari.

Kejadian hampir sama berlaku lagi pada 25 Ogos di mana seorang wanita yang memandu Perodua Kelisa maut di dalam keretanya selepas besi kren jatuh dari tingkat 20 bangunan hotel yang sedang dibina di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Mangsa, Chim Khoo Sing, 24, dari Pulau Pinang maut serta-merta selepas dihempap besi kren seberat 1,000 kilogram dan mengalami kecederaan parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan.


Pada 20 Oktober, seorang pekerja kontrak warga Indonesia maut manakala dua lagi parah dihempap konkrit selepas pelantar pembinaan sebuah tangki air roboh di Universiti Teknologi Malaysia Melaka (Utem), Durian Tunggal, Melaka.

Mangsa, Abu Ardianto, 31, yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

Di Klang, pasangan suami isteri maut pada 4 November selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap kren cerucuk statik yang tumbang berdekatan tapak pembinaan, di Bandar Bukit Raja, Klang.

Ketika kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai sedang menghala ke Jalan Meru, dihempap kren berkenaan yang tumbang dari tapak pembinaan di sebelah kanan jalan ketika mangsa sedang melalui Persiaran Astana.


Struktur kren cerucuk itu menghempap bahagian depan kereta jenis Perodua Axia, menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

Kedua-dua mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada 5 Disember, satu unit jentera kren tumbang di tapak pembinaan dekat Bandar Damansara Perdana.

Ini merupakan satu-satunya kejadian kren tumbang yang tidak meragut nyawa atau membawa kecederaan kepada manusia.


Kebakaran HSA

Pada 25 Oktober,  enam pesakit iaitu empat perempuan dan dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat dalam kebakaran di tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan Hospital Sultanah Aminah (HSA).


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, laporan lengkap yang diterima daripada pihak Bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan punca kebakaran disebabkan kapasitor di dalam lampu yang terbakar dan berkemungkinan terkena bahan mudah bakar termasuk cadar, baju pesakit dan langsir sehingga menyebabkan api pantas marak.


Tanah Runtuh Di Serendah

Pagi 26 November negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang menyebabkan seorang penunggang motosikal patah kaki dan tangan apabila jalan yang dilaluinya di Taman Idaman, Serendah, runtuh.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Fareez, 21, nyaris tertimbus dalam runtuhan berkenaan sebelum diselamatkan penduduk berhampiran yang menyedari insiden terbabit.


Sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk taman itu turut tertimbus dalam runtuhan.

Runtuhan sepanjang hampir 100 meter dari kawasan rumah teres sehingga ke bekas lombong itu turut meranapkan tujuh unit kedai.


Kemalangan Maut

Tidak sampai sebulan sebelum 2016 menutup tirainya, negara mendapat satu berita sedih apabila berlaku satu kemalangan ngeri membabitkan 10 anggota keluarga di kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), tanggal 12 Disember.

Enam sekeluarga maut dalam kejadian itu apabila kereta pelbagai guna (MPV) yang dipandu oleh pemandunya, Ahmad Nasal hilang kawalan ekoran satu tayar hadapan pancit lalu merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar tiang hadapan.

Ahmad Nasal bersama tiga anaknya mengalami kecederaan.


Lagi tragedi di bulan Disember, cuti sambutan Tahun Baru dan Hari Krismas tahun ini meninggalkan sejarah pahit apabila 14 penumpang sebuah bas ekspres maut manakala 16 lagi cedera apabila bas yang dinaiki terjunam ke dalam cerun sedalam 20 kaki di Kilometer 137, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada pagi 24 Disember.

Kemalangan yang berlaku berdekatan Kampong Jayo itu, turut mengorbankan pemandunya, isteri dan seorang anaknya.

Pada hari yang sama juga dilaporkan bahawa empat sekeluarga termasuk dua bayi kembar berusia satu tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tampin-Gemas.

Rangkuman 2016

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia