Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata setakat kelmarin pihaknya telah menerima 40 laporan berhubung kes penipuan itu yang melibatkan 4,000 mangsa dengan nilai wang kutipan sebanyak RM14.2 juta sejak 21 November lepas.
Menurut Mohd Zamri, pihaknya mendapati ramai mangsa tampil membuat laporan selepas tersebarnya berita dua suspek terlibat dengan kes tersebut ditahan minggu lepas.
"Bilangan mangsa yang membuat laporan dijangka meningkat berdasarkan senario semasa dengan lima laporan diterima kelmarin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Suspek masing-masing berusia 28 tahun dan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, Mohd Zamri berkata dua suspek utama dalam kes tersebut ada membuat tiga laporan polis kerana mendakwa menerima ugutan.
"Polis percaya ugutan tersebut dilakukan oleh mangsa yang berang kerana merasakan tertipu dan inginkan wang mereka dipulangkan," katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 506/427 kanun sama kerana ugutan dan khianat, katanya.