suria

Pemilik Rugi RM300,000 Selepas Rumah Rakit Terbakar

Pemilik rumah rakit Adzar Zainal,40, kerugian kira-kira RM300,000 apabila rumah rakitnya musnah dalam satu kebakaran di Kampung Teluk Sengat pagi tadi.
-fotoBERNAMA
KOTA TINGGI: Seorang pemilik rumah rakit di Kampung Teluk Sengat, di sini, kerugian kira-kira RM300,000 selepas kediaman terapung itu yang sudah beroperasi sejak dua tahun lepas, musnah dalam kebakaran pagi Isnin.


Adzar Zainal, 40, berkata dia dimaklumkam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.50 pagi oleh penduduk kampung yang menghubunginya.

"Saya berada di Kuala Lumpur semalam. Oleh kerana berasa tidak sedap hati, saya segera menyelesaikan urusan kerja dan terus balik ke Johor malam tadi sebelum tiba pada pukul 4 pagi.

"Memang saya merancang untuk menjenguk rumah rakit itu, namun tidak sangka dikejutkan dengan berita kebakaran ini," katanya ketika ditemui di sini Isnin.

Menurutnya,penduduk kampung memaklumkan rumah rakit itu musnah keseluruhannya selepas kira-kira 40 minit terbakar.

Adzar yang merupakan seorang chef berkata, beliau berasa musykil kerana ketika kejadian, rumah rakit berkenaan dalam keadaan gelap memandangkan tiada sesiapa berada di dalamnya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan kebakaran tersebut disebabkan perbuatan khianat dan sudah melaporkannya kepada polis.

"Rumah rakit itu sebelum ini sentiasa dipenuhi pengunjung terutama pada hujung minggu dan waktu cuti.

"Pengunjung suka menganjurkan majlis keramaian dan pertandingan memancing ekoran keluasannya dan mempunyai kemudahan yang lengkap," katanya yang menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Cawangan Siasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kota Tinggi, Firdaus Ahmad berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 7.31 pagi.

Katanya, bomba menamatkan operasi pada pukul 9.20 pagi dan masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain