suria

Banjir Musnahkan Tanaman Limau Madu

Dua penduduk Kampung Paloh Nyior, Zainalrikiah Mohd Shah, 54, bersama cucu dan rakannya berjalan dalam air banjir untuk pulang ke rumah mereka selepas bermalam di pusat perpindahan di Hulu Terengganu di sini, Isnin.

KUALA BERANG: Sekumpulan peserta projek tanaman limau madu secara berkelompok di Kampung Lubok Periuk kerugian lebih RM20,000 setelah tanaman mereka rosak setelah kebun mereka dinaiki air akibat banjir.

Ketua projek tersebut Yahaya Abdullah berkata, kebun seluas lapan hektar yang diusahakan 25 penduduk di kampung tersebut dinaiki air lebih satu meter sejak Sabtu lalu.

"Habis buah limau kami musnah...kebanyakan buah yang hampir masak, gugur dan rosak sebab air sungai melimpah masuk ke kebun.

"Sepatutnya buah-buah ini boleh dikutip dua tiga minggu lagi...dah ada peraih yang menempah buah-buah limau ni sebenarnya," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Selasa.

Yahaya yang turut mempunyai satu hektar kebun limau berkata kebanyakan peserta yang menyertai projek tanaman limau berkelompok tersebut merupakan golongan ibu tunggal dan penduduk yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil jualan limau.

"Kami mulakan projek ini sejak tujuh tahun lalu tetapi hasilnya baru dirasai empat tahun kebelakangan ini setelah pokok tersebut matang.

"Tapi, hampir setiap tahun pokok kami rosak akibat banjir...kesian juga dekat peserta yang hanya bergantung kepada hasil jualan buah ini," katanya yang turut kerugian lebih RM3,000.

Seorang lagi peserta projek, Abas Abdul Rahman, 58, berkata meskipun diuji dengan banjir dan terpaksa berpindah serta tanaman musnah, beliau menganggap ia sebagai satu ujian.

"Dah la dua tiga tahun ni buah kurang menjadi, diuji pula macam ni...hujan lebat, terpaksa berpindah dan kebanyakan buah limau saya jadi kekuningan dan luruh.

"Saya anggap ia sebagai satu ujian...saya reda. Kalau nak diikutkan hati, memang rasa agak sedih tapi saya reda," katanya.

Abas berkata dua tahun lalu mereka turut mengalami nasib yang sama apabila buah yang hampir masak turut musnah akibat pokok ditenggelami air banjir.

"Masa tu tanaman menjadi, banyak buahnya...memang kami kerugian besar sebab masa tu satu pokok kami berbuah kira-kira 50 kilogram...macam tahun ni satu pokok hanya 20 kilo.

"Memang kami bergantung pada hasil jualan limau ni...susah sikit la nak makan lepas ni, tapi tak pe...ada la rezeki lain Allah bagi," katanya yang turut memiliki 0.40 hektar kebun limau.

Abas berkata limau tersebut dijual kepada peraih dengan harga RM4 untuk satu kilogram dan dijual di pasaran dengan harga RM6 hingga RM8 sekilo.
-- Bernama




limau madu, banjir, Kuala Berang

Artikel Berikut

Artikel Lain