suria

Suami Isteri Didenda RM1,000 Bergaduh Rebut Parkir

PETALING JAYA: Gara-gara bergaduh kerana berebut kawasan parkir, sepasang suami isteri masing-masing didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang mekanik, Nor Azalisam Wahi, 31 dan isterinya, Siti Norhidayah Abdullah, 26, setelah mereka mengaku bersalah mengganggu ketenteraman awam dengan bergaduh di tempat awam.

Mereka melakukan kesalahan itu di hadapan rumah No 554C, Jalan SS 9/2, Sungei Way, di sini pada 9.50 pagi, 29 Disember lalu mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Peguam Datin Raj Preet Kaur yang mewakili Nor Azalisam dan Siti Norhidayah  memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan atas alasan kedua-dua anak guamnya mempunyai empat anak yang masih kecil dan mereka menjaga ibu bapa yang tua.

Di mahkamah sama, pasangan suami isteri warga emas yang terlibat dalam pergaduhan tersebut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Lim Koon Fook, 69 dan isterinya, Sam Koi Ying, 65, didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Khairul Aisamuddin menawarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin terhadap pasangan yang tidak diwakili peguam itu.

Datin Fadzlin Suraya membenarkan mereka diikat jamin RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dr Mah: Pos Kemar Bebas Malaria

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan