suria

Video Viral Kes Culik Di Krubong Tidak Benar - Polis

MELAKA: Satu rakaman klip video yang menunjukkan seorang kanak-kanak diculik di Krubong adalah tidak benar, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah.

"Kejadian itu bukan penculikan seperti yang didakwa oleh pihak yang menyebarkan video tersebut dalam laman sosial.

"Malah kami sedang menyiasat semua aspek termasuk maklumat pihak yang memuatnaik video itu," katanya.

Video tersebut menunjukkan seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan orang di Krubong pada tengah hari Selasa.

Difahamkan, lelaki itu didakwa membawa seorang kanak-kanak perempuan ke sebuah kedai berhampiran dan mencabul kanak-kanak tersebut.

Shaikh berkata, budak perempuan itu kemudiannya memberitahu kejadian tersebut kepada ahli keluarganya tentang tindakan lelaki tersebut yang juga merupakan saudara mereka.

"Keluarga budak itu kemudiannya bertemu dengan lelaki terbabit sebelum membelasahnya.

"Kes ini melibatkan hal keluarga dan bukan kes penculikan," katanya.

Beliau menambah, polis sedang menjalankan dua siasatan, satu mengikut Seksyen 354 Kod Penal iaitu menggunakan kekerasan dengan niat mencabul dan satu lagi Seksyen 147 Kod Penal kerana merusuh.

"Polis mengambil serius kjes ini kerana lelaki yang dipukul mengalami kecederaan parah dan ditempatkan di Hospital Melaka.

"Tiada pihak berhak untuk memukul orang lain tanpa bukti yang kukuh," katanya.

Krubong, Culik

Artikel Lain