SEPANG: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyita 13 kereta milik pemandu Uber/Grabcar yang didapati bersalah kerana menjalankan kegiatan 'ulat' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, 13 pemandu Uber/Grab merupakan antara 58 ulat yang ditangkap penguatkuasa itu di dua lapangan terbang utama negara sejak tiga bulan lalu. "Ulat-ulat ini ada pelbagai jenis dan yang terbaharu adalah Uber/Grab. Mereka menyalahgunakan aplikasi untuk menjalankan kegiatan mereka. "Kita mula tangkap ulat-ulat Uber/Grab ini sejak Oktober lalu. Kesemua 13 kereta mereka telah disita," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di KLIA, Selasa malam sejurus selepas menjalankan operasi Ops Parasit di dua lapangan terbang itu di sini. Terdahulu, mStar Online membuat pendedahan mengenai tindakan kelompok pemandu Uber/Grab yang sanggup bertukar status menjadi ‘ulat’ untuk mendapatkan penumpang di KLIA dan KLIA2 gara-gara persaingan tinggi di lokasi berkenaan. Portal berita ini telah menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran. Sehubungan itu, Che Hasni mengingatkan kepada pemilik kenderaan seperti Uber/Grab bahawa tindakan akan diambil dengan menyita kenderaan mereka termasuk pemandu yang melakukan kesalahan. Katanya, tindakan dibuat di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010. "Mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya sambil menambah bahawa menyita dan melucutkan hak kenderaan di bawah Seksyen 16 APAD. Selain 13 tangkapan membabitkan Uber/Grab pada tahun lalu, SPAD turut menahan 22 ulat teksi, 16 (kereta sapu) dan tujuh ulat tiket. KLIA2 menyaksikan jumlah tangkapan lebih banyak dengan 40 ulat manakala 18 lagi di KLIA. Mengenai operasi pada Selasa, Che Hasni berkata, sebanyak tiga 'ulat' ditahan, berumur antara 37 dan 38 tahun. Beliau menambah, urusan pendakwaan terhadap ulat-ulat tersebut di mahkamah akan dilakukan dengan segera dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja tangkapan dibuat. "Kita mahukan impak supaya mereka (ulat) sedar bahawa kegiatan ini salah," tegas Che Hasni.