suria

Tumbuk Mata Tunang, Polis Bantuan Didenda RM1,500

PETALING JAYA: Gara-gara menumbuk mata tunangnya, seorang anggota polis bantuan sebuah universiti awam didenda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Azhar Mat Yusof, 33, setelah dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Audrey Anne Chua Wei Lian, 20, dengan cara menumbuk mata sebelah kanan wanita itu. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 1-2-3, Pangsapuri Lagoon Perdana, Jalan PJS 9/1, Bandar Sunway, di sini pada 4 pagi, 31 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya. 

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superitendan V. Nara memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. 

"Hukuman yang setimpal harus diberikan mengambil kira faktor tertuduh merupakan seorang anggota polis bantuan dan dia seharusnya lebih bijak mengawal emosi," katanya. 

Azhar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia masih menanggung dua anak di kampung dan telah insaf serta tidak akan mengulangi kesalahan sama. -- Bernama 


Bandar Sunway, Audrey Anne

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain