suria

Proses Bersih Tumpahan Minyak Ambil Masa Seminggu

JOHOR BAHRU: Tempoh seminggu diperlukan untuk proses pembersihan susulan insiden tumpahan minyak akibat pelanggaran dua kapal kontena di perairan Pelabuhan Pasir Gudang, timur Selat Johor, malam Selasa.

Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dalam kenyataan di sini pada Khamis berkata bagaimanapun, tempoh pembersihan itu bergantung kepada cuaca dan keadaan arus di perairan itu.

Menurut LPJ, tumpahan minyak yang berlaku tidak menjejaskan penduduk setempat khususnya nelayan di kawasan itu.

"Tumpahan ini tidak menjejaskan jeti-jeti persendirian yang berada di perairan itu termasuk Stesen Jana Kuasa Sultan Iskandar yang terletak berhampiran," menurut kenyataan itu.

"Pelabuhan juga berjalan seperti biasa namun dijangka berlaku kelewatan untuk kapal-kapal berlabuh di Terminal Kontena berikutan kerja-kerja kawalan tumpahan sedang giat dijalankan," kata LPJ.

LPJ berkata tindakan pantas Johor Port Bhd (JPB) dengan kerjasama agensi di bawah Pasir Gudang Oil Spill Task Force seperti Feoto, Petronas dan Shell serta LPJ, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Laut Wilayah Selatan dan pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), berjaya mengawal tumpahan merebak ke kawasan lain.

Pihak berkuasa Singapura juga telah mengambil tindakan segera selepas menerima maklumat berkaitan insiden itu.

Kejadian yang berlaku pada 11.05 malam, berpunca daripada kerosakan generator kapal Kontena MT Wan Hai 301 yang berdaftar di Singapura menyebabkan hilang kawalan dan melanggar kapal kontena MT APL Denver yang berada berdekatan.

"Pelanggaran itu menyebabkan tumpahan minyak dari kapat MT APL Denver yang dianggarkan sebanyak 300 tan minyak Marine Fuel Oil (MFO)," kata LPJ.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kehilangan nyawa.


LPJ, tumpahan minyak, MT Wan Hai 301

Artikel Lain