suria

Telco Digesa Perketat Syarat Daftar Talian Telekomunikasi

Mohamad Yusrizal Yusoff menunjukkan surat aduan yang diterima dari seorang lelaki berusia 68 tahun. Foto:Bernama

ALOR SETAR: Syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini digesa memperketat syarat pendaftaran talian telekomunikasi bagi mengelakkan pemalsuan.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ini kerana kes pemalsuan pendaftaran telekomunikasi didapati semakin meningkat. 

"Tahun lepas sahaja kes pemalsuan pendaftaran talian telekomunikasi sebanyak 97 kes iaitu meningkat daripada 89 kes yang dilaporkan pada 2015," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal yang juga Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia, mencadangkan telco menggunakan sistem biometrik yang menuntut penggunaan cap jari pemohon semasa membuat pendaftaran.

Gesaan CAKE itu susulan aduan terbaharu yang diterimanya melibatkan seorangguru lelaki berusia 25 tahun yang mengajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Katanya guru tersebut mendakwa menerima notis daripada sebuah telco yang menuntutnya menjelaskan tunggakan bil telefon berjumlah RM640 sedangkan dia tidak pernah menggunakan talian itu.

Setelah disemak didapati pendaftaran talian itu menggunakan salinan MyKad guru tersebut yang mengandungi data lengkap namun tanpa gambar seperti lazimnya.

Ekoran itu pengadu membuat laporan polis selain akuan bersumpah yang kemudian diserah kepada telco terbabit untuk tindakan lanjut dan menganggap isu berkenaan selesai.

Bagaimanapun menurut CAKE, telco terbabit masih menghantar notis menuntut guru berkenaan menjelaskan tunggakan tersebut.

"Banyak kes sebegini yang kami terima, kerana itulah kami berpandangan ada kelemahan dalam sistem pendaftaran telekomunikasi," kata Mohamad Yusrizal. -Bernama

Telco, syarat diperketat

Artikel Lain