suria

MH370: Mesyuarat Tiga Pihak Diadakan Sebelum 28 Januari

KUALA LUMPUR: Mesyuarat antara Malaysia, Australia dan China berhubung operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 akan diadakan sebelum 28 Januari ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata keputusan sama ada untuk meneruskan atau menggantung sementara operasi pencarian pesawat malang itu yang hilang pada 7 Mac 2014 akan diputuskan menerusi mesyuarat tiga pihak itu.

"Mesyuarat peringkat pegawai bagi Malaysia, Australia dan China diadakan bulan lepas dan satu lagi mesyuarat peringkat menteri melibatkan tiga negara tersebut dijangka diadakan sebelum Tahun Baharu Cina (28 Januari) ini.

"Ketiga-tiga negara komited untuk selesaikan proses pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi yang kini berada di peringkat akhir," katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2017 edisi kedua di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Liow berkata sehingga kini pihak berkuasa yang terlibat tidak bercadang untuk mengubah operasi pencarian ke kawasan lain memandangkan tiada sebarang bukti atau petunjuk tepat berhubung misteri kehilangan pesawat MH370. - BERNAMA

MH370, Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

Artikel Lain