KOTA KINABALU: Seorang menteri Sabah meminta McDonald's Malaysia agar mengikut jejak restoran cawangannya di Miri, Sarawak yang tidak membenarkan dasar kek halal dilaksanakan. Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang yang juga Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), berharap kerajaan negeri akan mengarahkan McDonald's membantah pelaksanaan dasar tersebut secepat mungkin. Jelas beliau, premis McDonald's di Semenanjung Malaysia telah diarahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk melarang kemasukan kek tanpa sijil halal ke restoran makanan segera itu. Namun menurut Chee Kang, larangan itu tidak bersesuaian dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah. Jelasnya, penduduk Sabah terdiri daripada latar belakang agama dan bangsa yang berbeza serta hidup dalam suasana harmoni. "Malah penduduk Islam di Sabah tidak pernah kisah untuk mendapatkan makanan halal di restoran Cina yang menyediakan hidangan tidak halal. "Oleh itu, larangan kek tidak halal ke premis Mcdonald's tidak perlu dilaksanakan di sini," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat. Chee Kang berkata, penduduk Sabah saling menghormati kepercayaan dan budaya masing-masing dan tidak akan sengaja melampaui batasan agama. "Disebabkan itu, restoran McDonald's di Sabah tidak perlu melaksanakan dasar tersebut bagi mengelakkan kesan negatif antara kaum. "Ibu pejabat McDonald's perlu mengarahkan semua cawangannya di Sabah agar tidak menguatkuasakan larangan kek tidak halal dibawa masuk ke restoran. "Kerajaan negeri juga boleh mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak untuk mengeluarkan arahan yang sama kepada premis McDonald's di Sabah.