PETALING JAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memberi jaminan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan di negeri dilanda banjir seperti Kelantan serta Terengganu tidak akan terputus. Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata Fama mempunyai logistik yang mencukupi untuk menyalurkan bekalan dari Cameron Highlands ke negeri-negeri terlibat. "Fama bekerja sepenuh masa sepanjang musim banjir bagi memastikan rakyat khususnya di Pantai Timur tidak terbeban akibat terjejas bekalan makanan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan di Pasar Tani Kelana Jaya di sini, Sabtu. Badruddin berkata meskipun pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan berkurangan akibat banjir, beliau memberi jaminan bahawa harga yang dikenakan adalah berpatutan. "Pengurangan harga lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran semasa itu masih kekal walaupun sekarang musim banjir, kerana pasar tani di seluruh negara memegang konsep susah senang bersama," katanya. Badruddin berkata Fama juga melaksanakan Program Pasar Tani Khas Musim Banjir supaya pengguna di kawasan dilanda banjir dapat membeli barangan keperluan harian dengan harga berpatutan. Katanya program itu dijalankan sejak semalam di outlet jualan terpilih iaitu di pasar tani, MyFarm Outlet, Pusat Transformasi Luar Bandar, Desaraya, Agrobazar Kedai Rakyat dan My Best Buy Fama di 40 lokasi terpilih di Kelantan dan Terengganu. -- Bernama