suria

Jabatan Imigresen Perjelas Pelaksanaan Bayaran Levi Pekerja Asing

Datuk Seri Mustafar Ali. -fotoTHESTAR

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen telah mengadakan perjumpaan dengan persatuan majikan bagi menerangkan bayaran levi pekerja asing yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata ini susulan permintaan pihak persatuan majikan yang mahu penerangan lanjut mengenai perlaksanaan pembayaran berkenaan.

"Dalam pertemuan itu kita antara lain telah menjelaskan rasionalnya pembayaran levi itu dan ianya dilaksanakan untuk kebaikan negara ini," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Pada Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar levi pekerja asing berkuat kuasa 1 Januari 2017 di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC).

Terdahulu, Mustafar menandatangani perjanjian kerjasama antara jabatan itu dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk bertukar kepakaran dalam penyelidikan dan perkongsian ilmu, selain menjalankan program latihan industri yang terbuka kepada pelajar dan kakitangan imigresen.

Sementara itu, Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim berharap kerjasama itu dapat mempercepatkan urusan memproses permohonan visa pelajar dan pengajar antarabangsa.

Katanya, masalah kelewatan visa itu melibatkan sejumlah pelajar dan tenaga pengajar asing yang ramai dan kebanyakan mereka yang terlibat itu merupakan mereka yang berkebolehan tinggi dan sangat berpotensi.

levi, pekerja asing, imigresen

Artikel Lain