KUALA BERANG: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kenyataan mentohmah kepimpinan negara yang viral di laman sosial, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari. Beliau berkata individu yang berasal dari Sabah dan menetap di Dungun,Terengganu itu ditahan beberapa hari lalu. "Maklumat terperinci masih belum dapat didedahkan kerana ia masih dalam proses siasatan dan kes ini disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kepada pemberita selepas menyertai gotong-royong membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mahmudiah yang terjejas banjir. Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata pihaknya mengingatkan orang ramai terutamanya pengguna media sosial supaya tidak mengambil kesempatan untuk menyebarkan perkara yang tidak berfaedah. "Saya beri amaran... mana-mana pihak buat fitnah...kita tak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan, Akta Fitnah serta Kanun Keseksaan mengikut kesalahan yang dilakukan," katanya. -Bernama