MELAKA: Kerajaan negeri sedang berusaha menangani masalah monyet berkeliaran yang mengganggu penduduk di beberapa kawasan sekitar negeri ini hingga membawa kepada 51 laporan polis. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron meminta semua pihak yang memiliki kepakaran dapat menyarankan langkah untuk memindahkan haiwan itu ke habitat semulajadinya. "Bukan sahaja Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang akan memindahkan monyet itu, tetapi juga pakar haiwan itu. "Haiwan itu tidak sepatutnya dicederakan atau dibunuh. Jadi, kami memerlukan pihak NGO yang menjurus kepada penjagaan haiwan untuk memberi input dan kepakaran," katanya. Antara laporan polis yang dibuat tahun lalu termasuk aduan monyet menyerang penunggang motosikal dan mencuri barangan penduduk setempat. Idris turut mengakui haiwan itu turut berkeliaran di Sungai Udang termasuk menyambar barangan yang dibawa penduduk di situ. Salah satu kes yang berlaku Ogos lalu di mana sekumpulan monyet itu menyerang posmen dan membawa lari surat yang perlu dihantar kepada penerima. Pada 21 April lalu pula, seorang nenek berusia 71 tahun di Kampung Chin Chin retak pergelangan tangan kanan apabila sekumpulan monyet 'menyerangnya' ketika memberi ayamnya makan. Susulan itu, polis Melaka telah merujuk laporan mangsa kepada Perhilitan. Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Noorzakiahanum Mohd Noh berkata, pihaknya maklumkan masalah yang dihadapi melibatkan haiwan itu. "Kami perlu menanganinya tanpa mengingkari hak haiwan berkenaan," katanya. Katanya, pihaknya ada memasang perangkap di beberapa kawasan bagi mengelak penggunaan senjata yang boleh menyebabkan haiwan itu cedera atau terbunuh.