suria

Bapa Dua Anak Dipenjara Tiga Hari Akibat Curi Susu Formula

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri susu formula bayi di sebuah pasar raya, bapa dua anak dihukum penjara tiga hari dan didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.

Majistret Mahyudin Mohamad Som turut memerintahkan T.Gopal, 34, menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia membayar denda itu.

Tertuduh mengaku mencuri empat kotak susu Enfalac dan dua tin Frisocal Gold yang kesemuanya berharga RM502.60 milik 99 Speedmart di Jalan Changkat Thambi Dollah di sini pada 8.05 malam, 6 Januari lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 6 Januari 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudiannya hendaklah dihukum dengan penjara atau denda atau sebat.

Peguam P.Muniswer, yang mewakili Gopal, merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya dikenakan denda minimum dengan alasan dia melakukan jenayah itu disebabkan kesempitan hidup.

"Dia curi susu formula itu untuk anak-anaknya yang berusia empat dan dua tahun. Ia merupakan kesalahan pertama tertuduh dan isterinya pula akan bersalin anak ketiga dalam masa dua minggu lagi,"katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Di mahkamah sama, seorang pekerja kedai makanan didenda RM3,500 atau penjara empat bulan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki dengan menggunakan pisau potong kertas.

Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Mhuhilan,31, selepas dia mengaku mencederakan P.Arun, 32, di kepala dan ibu jari kiri di kedai makan di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini pada 8.30 malam, 6 Januari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu denda minimum dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama manakala pendakwaan memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. - BERNAMA

Curi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain