GEORGE TOWN: Pulau Pinang sekali lagi mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila dinamakan sebagai satu daripada 17 destinasi yang harus dikunjungi pada tahun 2017 oleh stesen penyiaran Amerika Syarikat, CNN. Negeri yang dikenali sebagai Pulau Mutiara itu diletakkan di tangga kedua di belakang Prince Edward Island, Kanada dan merupakan antara tiga destinasi di Asia yang tersenarai dalam carta tersebut selain Thailand dan China. Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pengiktirafan itu akan menjadi perangsang kepada sektor pelancongan negeri yang kini terkenal di peringkat antarabangsa. "Saya berterima kasih kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz kerana beliau banyak mempromosikan produk pelancongan di negeri ini di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin. Setiap destinasi dalam senarai itu dipilih oleh pakar-pakar pelancongan CNN di serata dunia mengenai tempat kegemaran mereka. Ini bukan kali pertama Pulau Pinang yang terkenal sebagai syurga makanan itu mendapat pengiktirafan. Sebelum ini bandaraya George Town dinamakan oleh Forbes sebuah Majalah Perniagaan Amerika Syarikat, sebagai 10 destinasi pelancongan bajet terbaik untuk tahun 2016 dan Los Angeles Times memilih George Town antara 16 destinasi yang harus dikunjungi pada tahun lepas. - BERNAMA