TAMPIN: Reman seorang wanita yang sebelum ini dipercayai ibu kepada Muhammad Adam, kanak-kanak lelaki tiga tahun yang ditemui bersendirian di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin, Jumaat lepas, dilanjutkan tiga hari lagi bermula Isnin. Majistret Tan Chai Wei mengeluarkan perintah itu selepas mendapat permohonan polis untuk melanjutkan reman terhadap wanita yang berusia 36 itu bagi membantu melengkapkan siasatan. Sebelum ini suspek direman selama empat hari dan berakhir pada Isnin. Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak dilapor berkata wanita yang ditahan reman dipercayai ibu kepada Muhammad Adam, didapati bukan ibu kandung kanak-kanak malang itu. Hamazah berkata penemuan berkenaan diperoleh hasil soal siasat pihak polis terhadap wanita berusia 36 tahun itu dan penemuan terbaru hasil siasatan itu juga menunjukkan wanita itu berkemungkinan mengambil upah menjaga kanak-kanak berkenaan. Muhammad Adam ditemui di dalam sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, dekat Tampin kira-kira 1 pagi Jumaat lepas, dalam keadaan lapar dan menangis ketakutan. Dia dipercayai ditinggalkan seorang diri oleh ibunya sejak 6 petang, Khamis lalu sebelum ditemui sehari kemudian apabila sepasukan polis dan orang kampung memecah masuk rumah tersebut. Tindakan itu susulan laporan polis yang diterima daripada ketua kampung pada 12.45 tengah malam yang menyatakan terdengar bunyi budak sedang menangis di dalam sebuah rumah yang berkeadaan gelap dan berkunci. - BERNAMA