KUALA LUMPUR: Umno belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai Himpunan 355 yang dicadang diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Februari depan. Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini parti itu juga tidak menerima jemputan daripada PAS selaku penganjurnya. "Umno belum buat apa-apa pendirian rasmi berkenaan itu... semua terpulang kepada presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak). "Saya ada berbincang dengan pemimpin kanan parti pagi tadi, bagaimanapun kita belum terima sebarang jemputan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Wacana Korporat: Gagasan Menjunjung Amanah Rakyat di sini, Isnin. Bagaimanapun, Annuar berpendapat himpunan itu adalah perlu bagi merungkai persoalan dan memberi penjelasan lebih baik kepada masyarakat. "Secara peribadi saya berpendapat apa-apa perjumpaan kalau ke arah memberikan penjelasan kepada masyarakat awam untuk lebih memahami, ia adalah satu perkara yang baik dilakukan kerana ia telah menjadi polemik dan menimbulkan keresahan sesetengah pihak," katanya. Pada 7 Januari lepas, pengerusi program himpunan itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS akan menganjurkan himpunan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) bagi memberikan penjelasan penuh mengenainya. Jelas Annuar, PAS bertanggungjawab memberikan penjelasan sebelum sidang parlimen pada Mac depan memandangkan RUU itu dibawa oleh PAS. Sementara itu, beliau berkata, kesemua pimpinan Barisan Nasional (BN) juga perlu 'duduk' bersama terutama dengan parti komponen yang menentang pelaksanaan RUU itu. "Penentangan itu mengikut apa yang mereka faham dan sebagai anggota BN kita kena bincang supaya setiap keputusan tidak berdasarkan emosi semata-mata. "Penentangan sebelum ini adalah kerana perkara itu dibawa oleh pembangkang sedangkan kita tidak tahu lagi bagaimana (RUU itu)," katanya. - Bernama