PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas telefon pintar iPhone dan tablet iPad jenama Apple bernilai lebih RM350,000 dalam satu operasi khas di Klang, Selangor pada Selasa. Dalam satu kenyataan, Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin berkata rampasan 140 unit telefon pintar iPhone dan 86 unit iPad itu merupakan barangan tiruan yang akan dipasarkan secara dalam talian untuk pasaran antarabangsa seperti di Amerika Syarikat (US) dan United Kingdom (UK). "Serbuan melibatkan lima pegawai penguatkuasa KPDNKK dan dua wakil pemilik cap dagang Apple ke atas premis itu dibuat selepas pihaknya membuat risikan selama tiga bulan setelah menerima aduan daripada pemilik cap dagang. "Ketika serbuan, 20 orang pekerja berada di dalam premis berkenaan. Pihak kami telah mengambil keterangan kesemua individu tersebut bagi membantu siasatan," katanya. Mohd Roslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. "Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu, atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya. Pihak KPDNKK akan terus kerjasama pintar dengan pemilik cap dagang dan lain-lain agensi dalam usaha melindungi hak pengguna dan juga industri." katanya. - BERNAMA