PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Selasa memerintahkan supaya saman terhadap presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan tujuh lain berhubung konspirasi menggulingkan bekas presiden Datuk G Palanivel dibawa untuk perbicaraan penuh. Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim berpendapat bahawa terdapat beberapa isu dalam saman itu yang perlu dirungkai dan ditentukan semasa perbicaraan. "Semua persoalan fakta sepatutnya telah dirungkai dan ditentukan semasa perbicaraan penuh. Ia bukan kes yang mudah dan jelas untuk dibatalkan," kata beliau. Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap bentuk tuntutan plaintif di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan, yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan. Hakim Tengku Maimun juga berkata butir-butir konspirasi yang dinyatakan dalam tuntutan adalah lengkap untuk plaintif dan dalam apa jua hal tidak mewajarkan hakim Mahkamah Tinggi untuk menolak saman itu. Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan oleh bekas setiausaha agung MIC A.K. Ramalingam dan tujuh yang lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Julai 2016 bagi membenarkan permohonan Subramaniam dan defendan lain membatalkan saman itu. Panel itu yang termasuk Datuk P. Nalini dan Datuk Zabariah Mohd Yusof memerintahkan kes itu dikembalikan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan dan mengetepikan keputusan hakim Datuk Yeoh Wee Siam. Hakim Tengku Maimun juga mengarahkan saman itu didengar di hadapan hakim lain Mahkamah Tinggi. Responden (defendan) ialah Subramaniam, ketua pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) Datuk Mohamad Razin Abdullah, pegawai Akmal Yahya, Datuk S Vigneswaran, Datuk Jaspal Singh, T Mohan, A Sakthivel, dan peguam V Vasanthi. Ramalingam pada 5 Februari 2016, memfail saman terhadap mereka berhubung dakwaan konspirasi untuk menggulingkan bekas presiden MIC Palanivel pada 2015. Plaintif lain dalam saman itu ialah V Ganesh, Datuk Henry Benedict Asirvatham, M Sathiyamurthu, George Alexander Fernandez, R M Prabu, R Sithambaran Pillay dan V Rajoo. - BERNAMA