IPOH: Seorang koperal cedera di bahagian paha kirisetelah dipercayai tertembak diri sendiri dengan sepucuk pistol di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini, pada Ahad malam. Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput Utara Perak DSP A. Pamnaswaran berkata dalam kejadian kira-kira 10.20 malam itu, mangsa Murli Farzizi Zakaria,34, sedang bertugas di cawangan unit kereta peronda (MPV) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di IPD berkenaan. "Mangsa sebelum ini dihantar ke hospital Sungai Siput dalam keadaan tidak sedarkan diri. "Mangsa mengalami kecederaan luka di paha dan betis kiri serta patah jari telunjuk kiri. Mangsa mengalami pendarahan teruk dan telah dipindahkan ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB)," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa. Menurut Pamnaswaran, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di unit rawatan rapi HRPB. -Bernama