suria

Wanita Abai Kanak-Kanak Di Tampin Didakwa Esok

Muhammad Adam ditemui di dalam sebuah rumah bersendirian dalam keadaan lapar dan ketakutan pada 6 Januari lalu.

SEREMBAN: Seorang wanita yang sebelum ini dipercayai ibu kepada Muhammad Adam Khuzaimie Abdullah, kanak-kanak berusia tiga tahun yang  ditemui bersendirian di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin pada Jumaat lepas, akan didakwa pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata wanita berusia 36 itu akan didakwa mengikut Seksyen 33 (c) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan selama suatu tempoh yang tidak berpatutan.

Dia akan didakwa di Mahkamah Majistret Rembau, katanya dalam kenyataan, di sini Selasa.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 6 Januari lepas, Muhammad Adam Khuazimie ditemui di dalam sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, dekat Tampin kira-kira 1 pagi dalam keadaan lapar dan menangis ketakutan.

Dia dipercayai ditinggalkan seorang diri oleh ibunya sejak 6 petang, Khamis lalu sebelum ditemui sehari kemudian apabila sepasukan polis dan orang kampung memecah masuk rumah tersebut.

Tindakan itu susulan laporan polis yang dibuat oleh ketua kampung pada 12.45 tengah malam yang menyatakan terdengar bunyi budak menangis di dalam sebuah rumah yang berkeadaan gelap dan berkunci. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain