suria

PKGK Buru 17 Gajah Liar Di Jerantut

Gambar fail bertarikh 14 Julai 2016 merakamkan anggota Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang berjaya memujuk seekor gajah jantan liar untuk dinaikan ke dalam lori sebelum dipindahkan ke Taman Negara di Kampung Dendong Batu Melintang.

JERANTUT: Tujuh anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang kini giat memburu sekumpulan 17 ekor gajah liar yang memusnahkan tanaman di Kampung Bukit Rang Pulau Tawar minggu lepas.

Ketua Unit Pusat Konversasi Gajah Kebangsaan Nasharuddin Othman berkata  kumpulan gajah itu akan dihalau kembali ke kawasan asal mereka bagi menjamin keselamatan penduduk.

"Setakat ini kami hanya menemukan tapak kaki dan juga najis kumpulan gajah ini dan kami akan giatkan usaha memburu mereka," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Pada masa sama beliau menasihati penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri termasuk memburu dan menghalau gajah liar kerana perbuatan itu boleh mengancam nyawa terutama jika berdepan dengan gajah yang cedera.

Sementara itu Ketua Kampung Bukit Rang Sharuddin Idris berkata kira-kira 20 hektar tanaman ubi, tebu, pisang, nenas dan betik milik penduduk kampung musnah dirosakkan oleh kumpulan gajah liar itu minggu lepas.

"Sejak kumpulan gajah liar itu memasuki kampung minggu lepas, penduduk kampung risau dengan keselamatan terutama setiap kali keluar ke kebun," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada PKGK yang bertindak pantas membantu penduduk menangani masalah gajah liar tersebut.

PKGK, Gajah Liar

Artikel Berikut

'Ulat Tiket' Didenda RM3,000

Artikel Lain