suria

PTPTN Minta Peminjam, Waris Tampil Jika Berlaku Kematian, Keilatan Kekal

SHAH ALAM: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meminta peminjam dan waris tampil memberi maklumat sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal ke atas peminjam bagi membolehkan perbadanan itu mengurus serta menyelesaikan pembiayaan tersebut.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghafar Yusop berkata terdapat peminjam dan waris tidak mengetahui wujudnya Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pinjaman Pendidikan perbadanan itu yang boleh meringankan beban pembiayaan pinjaman mereka.

"Skim pinjaman atau pembiayaan pendidikan PTPTN dengan perlindungan takaful berkelompok ini bertujuan melindungi pinjaman atau pembiayaan yang diberikan perbadanan sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh kepada peminjam.

"Menerusi manfaat ini, pinjaman oleh peminjam akan diselesaikan sepenuhnya dan pada masa sama, waris peminjam turut menerima khairat kematian berjumlah RM1,500 sekiranya berlaku kematian ke atas peminjam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat penyelesaian hutang pembiayaan PTPTN serta khairat kematian kepada waris Allahyarham Muhammad Taufeq Hassan dan Allahyarham Azrul Hisham Azman di sini, Rabu.

Muhammad Taufeq, 22, maut dalam kejadian amuk di Bertam, Melaka pada 25 Ogos lepas, manakala Azrul Hisham, 27, meninggal dunia selepas lemas di air terjun Batu 16, Gombak pada 3 Oktober lepas.

Mengulas lanjut, Abdul Ghafar berkata mana-mana peminjam yang meninggal dunia atau mengalami keilatan kekal, waris perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan borang permohonan tuntutan takaful tersebut yang boleh didapati di portal rasmi PTPTN, www.ptptn.gov.my.

"Borang permohonan ini beserta dokumen sokongan hendaklah dikemukakan kepada pejabat PTPTN negeri atau mana-mana cawangan PTPTN berhampiran," katanya.

Beliau berkata sejak skim itu diperkenalkan pada 1998 sehingga 31 Disember lepas, 6,682 peminjam dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM107.64 juta telah memperoleh manfaat perlindungan takaful berkenaan.

Katanya dalam tempoh itu juga, PTPTN telah menyerahkan tuntutan khairat kematian kepada 6,073 waris berjumlah RM7.52 juta.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar berkata pembiayaan pendidikan PTPTN Muhammad Taufeq dan Azrul Hisham, masing-masing berjumlah RM15,000 dan RM29,250 telah selesai sepenuhnya melalui skim perlindungan berkenaan, selain waris kedua-dua mereka turut menerima RM1,500 bagi khairat kematian. - BERNAMA

PTPTN

Artikel Lain