KUALA LUMPUR: Meludah, membuang sampah merata-rata sudah menjadi sikap negatif warga asing yang 'berkeliaran' di sekitar kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa di Jalan Pahang, di sini. Malah, ia turut menimbulkan rasa kebimbangan dalam kalangan guru, ibu bapa dan murid-muridnya terhadap tahap kebersihan persekitaran dan keselamatan terutamanya selepas waktu persekolahan pada tengah hari. Mereka mendakwa perkara itu berlaku sejak hari pertama persekolahan apabila pejabat Kedutaan Bangladesh yang terletak bersebelahan dengan sekolah itu, mula beroperasi sejak 2 Januari lepas. Guru Besar SJKC Chung Hwa, Chew Tee Lee berkata hampir setiap hari, ibu bapa dan murid-muridnya takut untuk berada di kawasan pintu pagar sekolah selepas waktu persekolahan kerana kebiasaannya warga-warga asing akan berkeliaran di kawasan itu. "Kebiasaannya, murid-murid akan menunggu bas ataupun kenderaan ibu bapa mereka di luar pintu pagar sekolah untuk pulang namun sekarang mereka takut untuk keluar dari pagar kerana ramai warga asing berkeliaran di kawasan itu. "Selain itu, sementara menunggu giliran untuk berurusan di pejabat kedutaan itu, warga-warga asing dilihat meludah dan membuang sampah di kawasan luar sekolah... Ini sungguh menjijikkan," katanya pada sidang media di sini, Rabu. Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Chung Hwa, Tang Hong Choi berkata, selain, menjejaskan persekitaran sekolah, kehadiran mereka secara berkumpulan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di hadapan pintu pagar sekolah. "Mereka suka berkumpul beramai-ramai di kawasan tempat parkir bas dan kenderaan menyebabkan banyak bas sekolah dan ibu bapa mengadu tidak boleh memarkir kenderaan untuk mengambil anak-anak mereka. "Malah, ada bas-bas sekolah yang mengadu tidak mahu lagi mengambil murid-murid sekolah itu pulang dari sekolah kerana faktor itu... ada dalam kalangan ibu bapa turut mahu memindahkan anak-anak mereka ke sekolah lain," katanya. Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata pihaknya akan memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Imigresen, Pejabat Kedutaan Bangladesh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Wisma Putra untuk tindakan lanjut. "Kami cuma mahu lebih ramai anggota RELA, penguat kuasa DBKL dan polis trafik untuk mengawal keadaan lalu lintas dan pergerakan warga-warga asing di sini kerana bimbang akan keselamatan murid-murid dan kebersihan persekitaran sekolah itu. "Jika warga-warga asing ini didapati meludah atau membuang sampah merata-rata, mereka harus dikenakan tindakan denda oleh pihak-pihak berkuasa," katanya. - BERNAMA