KUCHING: Dua tahun lalu, Faizullah Nor Affendy dan rakan-rakannya mencuri hati pengguna internet apabila video mereka mempersembahkan tarian singa menggunakan kostum diperbuat daripada kotak viral di media sosial. Hari ini, pelajar berusia 13 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SMK) Bako ini bersama kumpulannya dari Kampung Muara Tebas sering dijemput untuk membuat persembahan di majlis tertentu. Kumpulan ini telah menerima alat muzik dan kostum pakaian tarian singa yang sebenar daripada Jabatan Belia dan Sukan negeri. "Kami tidak mempunyai latihan formal. Kami belajar seni tarian ini dengan menonton persembahan di tokong berdekatan semasa Tahun Baru Cina. "Sejak itu kami menjadikannya sebagai hobi," kata Faizullah ketika ditemui di kampungnya yang terletak kira-kira 30km dari sini, Rabu. Katanya, orang ramai telah memberi sambutan menggalakkan, sambil menambah pelawat yang telah menonton video tersebut dan datang ke Chin San Yan, sebuah tokong terkenal di kampungya, sering meminta mereka membuat persembahan. "Kadang-kadang, kami dijemput untuk membuat persembahan di bandar semasa Tahun Baru Cina dan pelancaran perniagaan baharu. Kami akan menerima antara RM200 hingga RM300," katanya. Mohd Shukri Azlan, 15, yang merupakan salah seorang daripada empat kanak-kanak lelaki dalam video itu, juga memberikan latihan tidak formal kepada anak muda lain yang berminat dalam seni ini. Bertindak sebagai pemain drum dalam kumpulan itu, Mohd Shukri berkata anggota baharu datang dan pergi, tetapi anggota asal masih kekal bersama. "Kami suka melihat persembahan tarian singa. Kami mula mencuba tarian ini pada 2012 dan berlatih membuat pergerakan menggunakan bahan-bahan terpakai," katanya. "Tidak lama kemudian, penduduk kampung berkumpul di hadapan rumah Faizullah untuk menonton persembahan kami," katanya. Sementara itu, nenek kepada Faizullah itu, Ramlah Malim, berkata cucunya itu dan rakan-rakannya sangat berminat dalam seni tarian singa. "Bapa saudaranya mencipta pakaian untuk mereka menggunakan kotak kadbod sebagai 'kepala'. "Mereka akan mengambil penutup periuk dari dapur dan baldi besar untuk dijadikan alat muzik," katanya. Sejak video itu menjadi viral, Ramlah berkata persembahan kanak-kanak lelaki itu sering mendapat perhatian pengunjung. Kampung Muara Tebas, yang majoriti penduduknya adalah Melayu terkenal dengan kuil berusia 200 tahun yang menarik beribu-ribu penganut agama Buddha setiap tahun, terutamanya semasa Tahun Baru Cina. Kuil Buddha itu telah diisytiharkan sebagai bangunan bersejarah di bawah Ordinan Warisan Budaya Sarawak 1993.