suria

Ejen Pembantu Rumah Didakwa Lindungi Tiga Warga Indonesia

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Seorang ejen pembantu rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan melindungi tiga wanita warganegara Indonesia yang tinggal lebih masa di negara ini.

Chung Mei Yee, 41, mengaku tidak bersalah ke atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Dia didakwa melindungi Wiwin Sudariyanti, Kiki Nurapi dan Siti Aminah yang tinggal di Malaysia melebihi tarikh tamat tempoh sah pas lawatan sosial mereka di No 19, Jalan BU 11/1A, Damansara, di sini pada 6.30 petang, 16 Disember tahun lepas.

Ketiga-tiga wanita itu masuk ke negara ini untuk bekerja sebagai tukang cuci dengan hanya menggunakan pas lawatan tersebut.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk setiap orang yang dilindungi atau penjara yang boleh sampai lima tahun atau sebat yang tidak kurang dari enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abd Rahman menawarkan jaminan RM10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Hafiz Hood memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh menanggung kedua ibu bapanya yang sudah tua.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 17 Feb untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Remaja Hina TMJ Gagal Rayuan

Artikel Berikut

Artikel Lain