suria

Kerajaan Ambil Kira Isu 'Sesumpah' Uber/Grab Rangka Dasar, Penguatkuasaan

Dasar dan aspek penguatkuasaan dirangka bagi pemandu-pemandu Uber dan GrabCar yang tidak mematuhi konsep sebenar 'e-hailing'. -Gambar hiasan
PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi jaminan untuk mengambil kira isu pemandu Uber dan GrabCar yang tidak mematuhi konsep sebenar 'e-hailing' dalam merangka dasar termasuk aspek penguatkuasaan bagi perkhidmatan itu.

Antaranya termasuk tindakan terhadap pemandu yang tidak bertanggungjawab dengan menjadi 'ulat' di lokasi yang mempunyai persaingan tinggi untuk mendapatkan penumpang khususnya di lapangan terbang.

Kementerian Pengangkutan menerusi kenyataannya kepada mStar Online berkata, ia sedia maklum mengenai masalah 'ulat' Uber/Grab yang berlaku ketika ini.

"Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedia maklum akan masalah 'ulat' yang berlaku dan dalam proses merangka polisi untuk perkhidmatan e-hailing.

"Pelbagai langkah telah diambil kira untuk dilaksanakan bagi membanteras masalah ini daripada berlaku untuk keselesaan pengguna kelak," kata kementerian berkenaan.

Ia mengulas pendedahan mStar Online  mengenai tindakan kelompok pemandu Uber/GrabCar yang sanggup bertukar status menjadi ‘ulat’ untuk mendapatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di Sepang, gara-gara persaingan tinggi di lokasi berkenaan.

Portal berita ini telah menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran.

Menurut MOT, syarikat dan pemandu e-hailing perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan  matlamat dasar seperti perlindungan insurans dan keselamatan dipatuhi.


Tambahnya, proses saringan terhadap pemandu merupakan antara 11 program yang diluluskan kerajaan di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang akan dilaksanakan secara berperingkat

"SPAD akan melaksanakan proses saringan baharu yang ketat dan menyeluruh terhadap teksi dan pemandu e-hailing. 

"Ini termasuk pemeriksaan rekod jenayah dan kesalahan trafik dan pelanggaran syarat-syarat lesen pengendali," katanya.

Isnin lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, pertemuan bersama pihak berkuasa berkaitan akan diadakan bagi membincangkan isu pemandu Uber/Grab yang menjalankan kegiatan ‘ulat’. 

Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa ketika ini proses meminda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dilakukan bersama kementerian itu, SPAD dan Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.
ulat KLIA, isu sesumpah, Uber, GrabCar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain