suria

PBB Tidak Tergesa-Gesa Pilih Pengganti Adenan - Setiausaha Agung

Datuk Dr Stephen Rundi.

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebagai tunjang utama dalam kerajaan Sarawak, akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi bagi memilih presiden baharu untuk menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Setiausaha agungnya, Datuk Dr Stephen Rundi tidak menolak kemungkinan akan memanggil mesyuarat majlis tertinggi parti itu sebaik sahaja selasai tempoh berkabung selama tujuh hari susulan kematian Adenan, selaku ketua menteri Sarawak sejak Februari 2014.

Pada lazimnya, presiden PBB menjadi ketua menteri negeri tersebut.

Adenan, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, dekat sini, pada 1.24 tengah hari Rabu.

"Presiden kami baru sahaja meninggalkan kami...mesti ada seseorang mengambilalih. Biar kami menghormati tempoh berduka ini terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Adenan di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini, Khamis.

"Proses mengasuh pemimpin baharu sudah diletakkan dalam PBB. Kami juga mempunyai kokus dalam parti untuk membantu kami membuat keputusan," kata Dr Rundi.

PBB kini mempunyai dua timbalan presiden yang memegang jawatan timbalan ketua menteri iaitu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah merupakan Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar manakala Abang Johari adalah Menteri Perumahan dan Urbanisasi serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri.

Pada Pilihan Raya Negeri 2016, Mei tahun lepas, PBB memenangi 40 daripada 72 kerusi dipertandingkan, justeru menjadi parti komponen terkuat dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain