suria

Pemakluman Rasmi Kekosongan DUN Tanjong Datu Selepas Tempoh Berkabung

Calon Barisan Nasional N3 Tanjung Datu Tan Sri Adenan Satem mendapat sokongan moral daripada isterinya Puan Sri Jamilah Anu ketika bertanding dan memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 tahun lalu.

KUCHING: Pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Adenan Satem akan dibuat selepas tempoh berkabung berakhir.

Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata satu sidang media akan dibuat berhubung perkara itu sebelum surat pemakluman diserahkan.

"Apabila masa berkabung itu selesai, baru kita adakan sidang media untuk mengisytiharkan ada kekosongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak di Astana Negeri, Petra Jaya, Jumaat.

Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak Pilihan Raya Negeri  2006.

Adenan yang menjadi ketua menteri hampir tiga tahun meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Kota Samarahan, dekat sini pada Rabu.

Kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari mulai Rabu hingga Selasa depan. --Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain