suria

PBS Gembira Johari Akan Keluar Perintah Pengecualian Cukai Rumah Ibadat

Johari Abdul Ghani.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) gembira dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani untuk mengeluarkan arahan pengecualian cukai melibatkan pendapatan semua institusi keagamaan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia atau undang-undang bertulis yang mengawal selia institusi itu.

Setiausa Agung PBS, Datuk Johnny Mositun berkata keputusan Johari akan melegakan kebimbangan gereja, kuil dan institusi agama untuk mula membayar cukai.

"Kekeliruan telah dijelaskan. Ia hanya salah faham yang menyebabkan pemimpin gereja dan jawatankuasa kuil bimbang yang pertubuhan mereka akan hilang status pengecualian cukai.

"Kami lega ia bukan begitu," katanya dalam satu kenyataan. 

Johari sebelum ini dilapor sebagai berkata langkah perintah itu ialah bagi memperjelas kekeliruan yang tumbul ekoran pindaan kepada perenggan 13(1) jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Perintah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan 1967 itu juga bagi memperjelas status terkini institusi keagamaan selepas pindaan tersebut berkuat kuasa.

Mositun berkata, PBS memuji penjelasan Kementerian Kewangan dan menyifatkannya konsisten dengan pendirian PBS dan Barisan Nasional.

Pindaan kepada Akta Cukai Pendapatan 1967 itu diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat lepas. - Bernama

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan