suria

Pengganti Ariffin Dapat Kelulusan JAC

Ketua Hakim Negara,Tun Arifin Zakaria bergambar bersama barisan hakim sempena Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2017 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Jumaat.

PUTRAJAYA: Pengganti Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria yang akan bersara pada April ini sudah diluluskan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Pengumuman mengenai Ketua Hakim Negara yang baharu akan dibuat tidak lama lagi.

"Ya, pengganti saya sudah dikenal pasti. Ia telah diluluskan JAC dan diuruskan pihak berwajib. Jadi, cuma menunggu masa yang sesuai sahaja

"Saya tidak boleh umumkan kerana ia melanggar kerahsiaan," kata Ariffin kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perundangan di sini, Jumaat.

Ariffin dijadualkan bersara pada September lalu bagaimanapun tempoh perkhidmatannya dilanjutkan sehingga April ini.

Beliau dilantik sebagai Ketua Hakim pada 12 September 2011.

Selain itu, kata Ariffin, kekurangan peguam jenayah, pegawai penyiasat (IO) dan ahli kimia polis adalah antara faktor yang melewatkan perbicaraan kes.

"Kebanyakan kes ini berlaku di Selangor terutamanya, masalah kerana ia melibatkan IO dan ahli kimia yang sama. 

"Kami harap polis di Selangor dapat menangani isu ini dan meningkatkan bilangan IO dan ahli kimia.

"IO yang sepatutnya menyiasat kes juga perlu tampil ke mahkamah setiap hari, bukan untuk satu tetapi banyak mahkamah.

"Terpulang kepada pihak polis untuk memutuskan berapa ramai yang diperlukan terutama untuk Selangor," katanya.

Ariffin berkata, Majlis Peguam sepatutnya menggalakkan lebih ramai peguam mendalami perundangan jenayah bagi menangani masalah kekurangan peguam jenayah di negara ini.

"Bilangan peguam jenayah di negara ini adalah terhad dan pihak Majlis Peguam perlu berusaha untuk menanganinya," katanya.

Artikel Lain