IPOH: Keadaan jantung kartunis terkenal Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat adalah lemah, kata anak sulungnya Junaidah, 33. "Bapa saya stabil. Dia seperti biasa boleh bercakap, makan dan berjalan cuma keadaan jantungnya sekarang ini lemah," katanya ketika dihubungi Bernama. Beliau berkata pada Sabtu bapanya telah menjalani beberapa ujian dan doktor memaklumkan keputusan ujian tersebut dijangka diketahui Isnin depan. Lat, 65, dimasukkan ke Hospital Pantai di sini minggu lepas kerana masalah jantung namun dibenarkan keluar Selasa lalu, sebelum dimasukkan semula ke hospital yang sama semalam dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana wad biasa penuh dengan pesakit lain. Sementara itu isterinya Datin Faezah Ahmad Zanzali ketika ditemui di hospital berkata suaminya menerima rawatan di wad biasa dan memerlukan rehat yang secukupnya. "Semalam dia sedih apabila dapat tahu media mengatakan dia dimasukkan ke ICU sedangkan keadaan dia stabil tetapi sebenarnya dimasukkan ke ICU kerana wad penuh. "Beri la dia (Lat) masa untuk rehat dan jangan ganggu dia buat sementara waktu ini," katanya.