suria

Masalah Jirat: Mohamed Khaled Puji MCA Guna Saluran Betul

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memuji tindakan MCA menggunakan saluran betul bagi menyelesaikan isu tanah jirat Cina di Plentong yang dicetuskan pembangkang baru-baru ini. 

Beliau berkata tindakan MCA memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai isu itu dalam usaha menyelesaikannya adalah betul berbanding pembangkang yang memilih untuk mencetuskan provokasi dalam kalangan masyarakat Cina.

Mohamed Khaled juga menjelaskan isu itu merupakan satu kesilapan dan akan diperbetulkan.

"Cara MCA betul. Walaupun DAP buat bising...walaupun DAP dapat pengaruh orang...walaupun macam MCA tidak dapat sokongan, cara dia (MCA) betul dengan maklum kepada kerajaan, hantar surat dan kita akan betulkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baru Cina di Dewan Taman Scientex, pada Sabtu.

Mohamed Khaled mengulas mengenai jirat Cina di Plentong yang akan ditukar menjadi tapak perkuburan Islam di bawah draf Rancangan Tempatan Daerah Johor Bharu dan Kulai 2025.

"Kerajaan sendiri juga tidak akan bersetuju jika tanah perkuburan Plentong itu ditukar kerana ia sudah lama menjadi tanah perkuburan Tionghua," kata Mohamed Khaled.

Pada 8 Januari lepas, satu perbalahan antara MCA dan DAP terjadi selepas selesai taklimat oleh Jawatankuasa Perkuburan Cina dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Plentong.

Taklimat yang diadakan itu bertujuan menyelesaikan isu berhubung tanah jirat tersebut.

Keadaan menjadi tegang apabila wakil MCA membidas wakil rakyat DAP sehingga berlaku perebutan mikrofon sehingga menimbulkan kemarahan penduduk yang hadir pada taklimat itu. -Bernama

Plentong, MCA, DAP

Artikel Sebelum

Artikel Lain