suria

Adaptasi Perubahan Bidang Pendidikan Untuk Kegemilangan Negara - PM

Najib beramah mesra dengan pelajar-pelajar cemerlang ketika hadir majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan UPSR dan PT3 2016 Parlimen Pekan pada Ahad.
 fotoBERNAMA

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak di negara ini agar turut sama memainkan peranan mengadaptasi perubahan dalam bidang pendidikan dan tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada kerajaan.

Beliau berkata semua pihak perlu peka dengan perubahan dalam dunia pendidikan kerana hanya ilmu dan pengetahuan menjadi teras kepada kejayaan diri, bangsa, negara serta menjamin kegemilangan sesebuah tamadun.

"Kalau sesebuah tamadun itu bergantung kepada ketenteraan, ia tidak boleh bertahan lama. Tetapi, jika tamadun itu terasnya adalah kepada ilmu dan pendidikan, maka tamadun itu akan bertahan jauh lebih lama.

"Dan sebab itu, jika kita ada cita-cita dan impian teragung untuk bangsa dan anak-anak kita pada masa depan, kita mesti terjemahkan impian itu dalam bentuk komitmen dalam bidang pendidikan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajaran serta bantuan 'Kembali Ke Sekolah' Parlimen Pekan di sini Ahad.

Najib berkata konsep pendidikan masa kini juga sudah berubah dan titik permulaan pendidikan bermula lebih awal daripada permulaan memasuki sekolah, malah boleh dikatakan bermula dari rahim ibu, yang mana ibu bapa mula memastikan kandungan mereka mendapat zat terbaik bagi merangsang pertumbuhan minda. - BERNAMA

Artikel Lain