suria

Penduduk Lembah Klang Rasai Gegaran Gempa Sumatera Utara

Beberapa penghuni Flat Seri Saujana berkumpul di perkarangan kawasan perumahan itu selepas merasai gegaran kira-kira pukul 8.42 malam Isnin. Gegaran gempa bumi sederhana bermagnitud 5.5 pada skala Richter melanda utara Sumatera, Indonesia pada Isnin malam turut dirasai penduduk di sekitar Pulau Pinang. Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Gegaran gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter di Sumatera Utara pada Isnin malam turut dirasai di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang.

Gegaran yang dilapor berlaku pukul 8.42 malam itu turut dirasai oleh mereka yang berada Sri Hartamas, Kota Damansara dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Seorang pekerja swasta, Zulkiflie Aminuddin, 25, berkata, pada awalnya beliau menyangka dirinya diserang migrain apabila tiba-tiba terasa pening ketika sedang berehat di rumahnya di tingkat 18, Kondominium Kiaramas Sutera, di sini.

"Semasa ingin ke dapur, langkah saya agak tidak stabil dan saya berasa pening...saya ingatkan migrain tetapi ia hanya dalam 10 saat sahaja.

"Saya segera memeriksa berita di laman sosial, barulah saya tahu pening yang saya alami tadi adalah kesan gegaran gempa di Sumatera," katanya kepada Bernama.

Detik cemas tersebut turut dikongsi seorang suri rumah, Syakira Mustapha, 34, yang ketika itu berada di sebuah restoran di TTDI bersama keluarganya. 

"Gelas minuman kami di atas meja tiba-tiba bergerak, saya juga terasa pening...pada mulanya saya ingat air minuman beralun disebabkan bunyi kuat daripada muzik di situ.

"Sangkaan saya meleset apabila pemuzik berhenti bermain...namum, air minuman saya tetap beralun di dalam gelas," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan kecemasan berhubung kejadian tersebut.

"Setakat ini, bilik gerakan tidak mendapat sebarang aduan daripada orang ramai mengenai kejadian itu, bagaimanapun kami akan sentiasa memantau dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku," katanya. 

Di IPOH, penduduk di sekitar bandaraya itu dan Manjung juga dapat merasakan gegaran tersebut.  

Seorang penduduk, Hassan Abdul Razak, 42, dari Ipoh berkata beliau merasakan gegaran itu selama lima saat ketika sedang makan bersama keluarganya. 

"Saya tengah duduk makan bersama keluarga sekitar jam 8.50 atau 9 malam tadi sebelum merasakan gegaran tersebut. 

"Tapi gegaran itu tidaklah kuat sangat sehingga membuatkan kami panik," katanya ketika dihubungi. 

Di Manjung, seorang pekerja kedai telefon bimbit Nur Erina Jasni, 21, berkata, dia merasakan gegaran selama beberapa saat ketika sedang baring atas katil kira-kira pukul 9 malam. 

"Baru nak terlelap saya terkejut apabila katil tiba-tiba bergegar.  

"Saya tengok di Facebook ada beberapa rakan juga beritahu ada rasa gegaran itu," katanya.

Di Pulau Pinang, gegaran turut dirasai di Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Maung, Sungai Ara, Jelutong, Gelugor, George Town, Padang Kota dan Air Itam di bahagian pulau manakala di tanah besar pula di Juru, Seberang Jaya, Butterworth, Sungai Dua, Batu Kawan dan Nibong Tebal.

Penduduk di Pangsapuri Ampang Jajar, Butterworth, Noorfaridaton Ahmad Razak, 41, berkata gegaran dirasai di kawasan rumahnya sebanyak dua kali dan semua 
penduduk bertindak turun ke kawasan parkir kenderaan kerana bimbangkan keselamatan.

"Kami sekeluarga baru selesai makan malam kira-kira pukul 9 malam apabila tiba-tiba terasa gegaran dan ada barang dalam rumah yang bergoyang. Kami semua turut pening sebelum sekali lagi berlaku gegaran dalam tempoh lima minit.

"Kami kemudian turun ke kawasan parkir dan selepas itu baru tahu ada berlaku gempa bumi di Sumatera. Alhamdulilah di sini tak ada apa-apa berlaku," kata ibu kepada tiga anak itu.

Sementara itu, Norisyam Abdullah, 35, berkata dia berada di sebuah pasar raya di Seberang Jaya ketika berlaku gegaran dan orang ramai yang ada di situ kemudian bertindak keluar dari bangunan dua tingkat tersebut. 

Katanya, ada barang di rak di pasar raya itu yang jatuh akibat gegaran gempa bumi tersebut.

"Saya terus balik ke rumah di apartmen Delima Impian, Juru dan lihat semua penghuni berkumpul di kawasan letak kenderaan. Mereka juga mendakwa terasa gegaran yang kuat sehingga ada perabot rumah seperti meja makan, katil dan sofa bergerak.

"Suami saya yang berada di rumah juga memaklumkan lampu dan kipas di siling bergoyang dan air dalam akuarium juga berkocak ketika gegaran itu. Setakat ini tiada barang yang rosak akibat kejadian berkenaan," katanya.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai gegaran itu, bagaimanapun tiada kerosakan dilaporkan. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain