KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Sabah pada Selasa memutuskan untuk membuka semula semua aktiviti perdagangan termasuk perkapalan dan import eksport barangan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) mulai 1 Februari depan. Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata mesyuarat JKKN yang dipengerusikannya pada Selasa juga bersetuju supaya Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Kudat beroperasi semula bagi laluan ke Palawan, Filipina berkuat kuasa pada tarikh sama. "Bagaimanapun semua aktiviti perdagangan iaitu transhipment, normal trade (import eksport barangan) yang dibuka semula perlu merujuk kepada Peraturan Tetap Operasi (PTO) Penambahbaikan Aktiviti Transhipment yang dikeluarkan oleh JKKN Sabah. "Permohonan untuk mengusahakan transhipment hendaklah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara negeri Sabah untuk penyelarasan. "CIQS Kudat pula beroperasi berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) CIQS Kudat yang sudah disiapkan sebagai panduan semua agensi dan pihak lain yang terbabit di situ," katanya dalam satu kenyataan. Musa juga berkata, aktiviti import eksport hasil laut Indonesia yang diusahakan nelayan atau gabungan Persatuan Nelayan di Tawau dibuka semula secara status quo, tetapi pendaratan hasil laut perlu dibuat di jeti atau tempat pendaratan yang sah menerusi penyelarasan Jabatan Perikanan. "Mengenai pengharaman bot pam, JKKN memutuskan peraturan itu diteruskan secara status quo iaitu penggunaan dan pemilikannya hanya dibenarkan kepada warganegara sahaja dan bagi bukan warganegara, tindakan tegas akan diambil secara berterusan oleh agensi keselamatan dengan menahan, merampas dan memusnahkannya," tambahnya. Beliau berkata, JKKN juga mengambil pendirian bahawa pengukuhan keselamatan dan penguatkuasaan segala peraturan akan diteruskan oleh semua agensi keselamatan berasaskan penyesuaian untuk mencapai matlamat perkembangan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. "Selain itu tindakan pengusiran Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina dipermudahkan selaras dengan pendirian Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah untuk menangani kebanjiran Pati. "Pengusiran pendatang tanpa izin Filipina secara besar-besaran juga akan dilakukan dengan menggunakan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang akan dilaksanakan pada akhir Februari ini," katanya. - Bernama